fb fb fb fb fb

Polis tahan reman wanita lintas jalan sehingga akibatkan kemalangan di LPT1

Keadaan motosikal berkuasa tinggi ditunggang mangsa yang merempuh belakang kenderaan pacuan empat roda yang brek mengejut

KUANTAN, 27 April- Polis mengesahkan penahanan seorang wanita yang memberhentikan kenderaan dipandunya sebelum bertindak melintas jalan sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan maut di KM98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur semalam.

Wanita berusia 35 tahun itu direman selama dua hari.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata penumpang kenderaan wanita terbabit iaitu seorang lelaki warga China berusia 37 tahun turut direman tiga hari bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua mereka direman bermula hari ini bagi siasatan lanjut susulan kes kemalangan yang melibatkan seorang lelaki maut di lokasi kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian.

Semalam, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam nahas di Kilometer 98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur.

Mangsa, lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sejurus pemandu kenderaan pacuan empat roda itu menekan brek mengejut selepas wanita terbabit yang memandu kenderaan utiliti sukan berhenti di bahu kiri jalan sebelum bertindak melintas ke kanan laluan itu.

Jelas Mazlan, dalam masa yang sama datang motosikal berkuasa tinggi ditunggang mangsa dari arah belakang terus melanggar pacuan empat roda itu, sebelum mangsa terjatuh di lorong laju manakala motosikalnya tercampak ke bahagian belakang kenderaan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE