fb fb fb fb fb

Lelaki warga Myanmar maut ditikam kerana perselisihan faham

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Wan Azharuddin Wan Ismail/ BERNAMA

SUNGAI PETANI, 27 April- Seorang lelaki warga Myanmar maut dalam pergaduhan dipercayai membabitkan beberapa rakan senegaranya di kawasan asrama sebuah kilang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Wan Azharuddin Wan Ismail memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 11.53 malam.

Beliau berkata siasatan awal menemukan seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dipercayai ditikam dan dipukul pada bahagian kepala.

"Motif pergaduhan dipercayai akibat mabuk kerana mereka minum bersama sebelum berlaku perselisihan faham dan pergaduhan.

"Seorang lagi lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun cedera pada bahagian pinggang dan kepala. Mangsa yang cedera dipercayai baharu setahun bekerja di kilang itu dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini dan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini

Beliau berkata susulan itu, polis menahan enam lelaki warga Myanmar berusia antara 20-an hingga 40-an yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Kesemuanya direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Wan Azharuddin, empat lagi suspek yang masih bebas sedang diburu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI