fb fb fb fb fb

Polis Kelantan tahan lelaki bersama-sama pil yaba bernilai lebih RM12,000

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 27 April - Seorang lelaki ditahan bersama-sama 823 biji pil yaba anggaran bernilai lebih RM12,000 di sebuah bangsal kereta di Kampung Taman Wira, Kampung Kedap, Rantau Panjang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Kama Azural Mohamed dalam kenyataan berkata, pasukan polis menahan lelaki itu dalam satu serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam.

Dalam serbuan, polis turut menyita sebuah kereta dan sebuah motosikal dianggarkan bernilai RM25,000 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah bersama-sama harta yang disita ialah RM37,345.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya menerusi kenyataan itu.

Kama Azural berkata suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 2 Mei ini bagi siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Polis menyeru orang ramai terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkatkan bagi memastikan negeri Kelantan khususnya Pasir Mas bebas daripada jenayah ini," katanya.

TETITIA YUSOFF