fb fb fb fb fb

Polis tahan dua lelaki bantu siasatan kes ugut PM, Timbalan KPN di media sosial

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Polis mengesahkan telah membuat tangkapan secara berasingan ke atas dua lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang mengandungi kenyataan berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Ketua Polis Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, tangkapan pertama disyaki pengendali akaun Facebook Nekad Hikers Ventures berumur 51 tahun ditangkap pada 27 oktober 2023 di kawasan Bandar Baru Bangi.

"Manakala tangkapan kedua dipercayai pemilik akaun Facebook Jgad zruu berumur 27 tahun juga ditangkap pada 27 Oktober di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang,"katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain.

Jelas Suhaily, kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menganggu siasatan.

"PDRM turut mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE