MIRI, 17 Ogos - Polis menyita tujuh motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar ini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata operasi yang bermula pada 10 malam hingga 4 pagi itu melibatkan dua pegawai kanan polis bersama lapan anggota.
“Sebanyak 12 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, tujuh motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana diubah suai daripada struktur asal.
"Selain itu, 16 individu diperiksa dan 36 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi itu dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Bandaraya Miri, Jalan Marina, Jalan Miri-Bypass, Jalan Tanjung Lobang dan Jalan Tudan.
Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang.
“Polis menasihatkan penunggang motosikal agar menunggang dengan berhemah, tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan secara haram serta tidak berkumpul di tepi jalan sehingga mengganggu ketenteraman awam. Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Miri untuk tindakan lanjut.