SEREMBAN, 28 Mac - Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris mayat wanita yang ditemukan di dalam semak di susur masuk Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) dari Springhill, Lukut dekat sini pada 20 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat wanita yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30 ke 40 tahun itu kira-kira pukul 8 pagi.
“Mayat ditemukan tanpa sebarang pengenalan diri, hanya memakai baju kaftan bercorak batik jingga dan bersubang. Fizikalnya kira-kira 155 sentimeter dengan berat 50.2 kilogram, berambut hitam lurus dan panjang serta berkulit cerah.
“Tiada unsur jenayah dikesan terhadapnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat sub Insp Lim Hooi Boon menerusi talian 06-6511143 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson 06-6462999 atau mana-mana balai berdekatan. - BERNAMA