KANGAR, 28 Mac - Seorang penceramah bebas direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam menerusi hantaran Facebook.
Peguam yang mengetuai barisan sembilan lagi peguam yang mewakili lelaki berusia 41 tahun itu, Zuhair Ahmad Zakuan berkata perintah reman itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar Ana Rozana Mohd Nor.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” kata Zuhair ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kangar hari ini.
Semalam, media melaporkan polis menahan lelaki itu Taman Melati Indah, Beseri, Kangar, Perlis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk direman di Mahkamah Kangar hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan penahanan lelaki tersebut dibuat susulan laporan polis yang diterima di IPD Dang Wangi berkaitan hantaran di media sosialnya mengenai penempatan semula tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Menurut Razarudin, pengadu mendakwa komen yang dibuat menerusi media sosial itu mengandungi unsur hasutan dan mencemarkan agama Hindu.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengumumkan tapak baharu kuil tersebut yang berkeluasan 4,000 kaki persegi terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asalnya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara ketika dihubungi Bernama mengesahkan tahanan reman selama dua hari terhadap penceramah bebas berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut. - BERNAMA