fb fb fb fb fb

Nenek mengaku tidak bersalah dera dua cucu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Mac - Seorang nenek berusia 65 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan dua cucunya, awal tahun ini.

Bapa saudara mangsa berusia 29 tahun turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan sengaja menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan ke atas dua kanak-kanak masing-masing berusia lapan dan enam tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar Januari hingga Mac, antara pukul 12.00 tengah malam hingga 11.59 malam di Taman Pusat Kepong, Sentul.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tidak melebihi 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi dan mangsa.

Bagaimanapun peguam Ridzuan Sihat yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon satu jumlah ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya yang berusia 65 tahun tidak bekerja.

Manakala, lelaki terbabit hanya bekerja sebagai jurujual dan perlu menanggung keluarganya.

Selepas mendengar hujah ringkas kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan wang jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat-syarat tambahan.

Tertuduh dilarang berjumpa mangsa atau saksi-saksi yang lain dan perlu melapor diri di balai polis tempat kediaman setiap satu hari bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 24 April ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN