fb fb fb fb fb

Polis Marin tahan dua bot, rampas senjata api di perairan Perai

Hamzah Ahmad memegang salah satu senjata api yang dirampas di perairan Perai/RTM

GEORGE TOWN, 28 Januari- Pasukan Polis Marin Wilayah 1 berjaya menahan dua buah bot dan merampas pelbagai jenis senjata api di kawasan perairan Perai, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata tindakan itu dilakukan hasil maklumat risikan pihaknya.

Dalam operasi kira-kira pukul 3.30 petang, pasukan Marin menghampiri bot yang bergerak mencurigakan dari pelabuhan menuju ke Jambatan Pulau Pinang.

Pemeriksaan mendapati dua bot itu dikendalikan oleh dua warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 57 tahun.

Rampasan melibatkan lima pucuk pistol, selaras senapang, pelbagai jenis peluru, kelopak peluru, wang tunai RM4,090 dan dua pasport asing.

Bot tersebut juga didapati tidak berdaftar dengan agensi berkuasa.

"Kita percaya senjata ini dibawa masuk dari negara jiran untuk tujuan pasaran gelap di Malaysia," katanya pada sidang media di Markas Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini hari ini.

Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 Februari depan.

Kes disiasat bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api yang memperuntukkan hukuman mati, penjara seumur hidup atau sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

SITI AISHAH MD ISA