fb fb fb fb fb

Polis lepas tembakan van cuba langgar polis

Pemandu van ditahan selepas bertindak melarikan diri sehingga 5 km di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas pagi tadi/Foto Penang Press

GEORGE TOWN, 10 Julai - Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dipandu seorang suspek lelaki tempatan berusia 36 tahun selepas cuba melanggar anggota polis yang bertugas.

Kejadian berlaku kira-kira 8 pagi tadi ketika sepasukan polis cawangan trafik menjalankan Op Perdagangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal dalam kenyatan berkata, pihaknya mengesan sebuah van yang dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan di kawasan terbabit, sebelum mengejarnya sejauh lima kilometer hingga ke Jalan Datuk Ismail Hashim.

"Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan van apabila suspek cuba melanggar anggota sebelum terbabas di bahu jalan.

"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu serta mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati turut positif dadah jenis methamphetamine," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata suspek turut mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya pada 2023.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepas tembakan di tempat awam.

GRACE AISYAH KEDAYAN