IPOH, 3 Disember- Polis giat mengesan seorang lelaki disyaki menikam peniaga makanan di sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat, seperti yang tular menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6 pagi semalam, mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut akibat ditikam dengan menggunakan senjata pisau oleh suspek yang merupakan pelanggan lelaki tidak dikenali.
"Mangsa yang berusia 44 tahun menjalankan perniagaan makanan mi di restoran itu.
"Mangsa berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata pisau.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu katanya, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-254 2222.
Menerusi beberapa rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular dalam media sosial, suspek dilihat berbual dengan mangsa sebelum bertindak menikam perut mangsa dan melarikan diri.