fb fb fb fb fb

Enam individu didakwa atas tuduhan merusuh

Lima individu mempunyai pelbagai rekod lampau termasuk jenayah dan dadah, manakala remaja berusia 16 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

SUNGAI PETANI, 4 Disember- Enam lelaki berusia 16 hingga 42 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkumpulan di kawasan terbuka di hadapan sebuah hotel di Jalan Padang Temusu, Sungai Petani, Kedah pada 27 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh bagaimana pun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fazlina Musa.

Fazlina kemudian menetapkan lima tertuduh ditawarkan jaminan sebanyak sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Manakala seorang lagi tertuduh ditawarkan ikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula hukuman.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, lima lelaki berusia 16 hingga 35 tahun bertindak memukul seorang lelaki berusia 42 tahun selepas lelaki berkenaan dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri salah seorang suspek berusia 33 tahun.

Semakan rekod mendapati, lima individu mempunyai pelbagai rekod lampau termasuk jenayah dan dadah, manakala remaja berusia 16 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

ZEHRA BINTI ZAMBRI