fb fb fb fb fb

Polis kesan dua suspek letupan premis di Ipoh

PDRM

IPOH, 1 September- Polis sedang giat mengesan suspek terlibat dalam kejadian letupan di sebuah premis perniagaan di Panorama Lapangan Perdana, di sini kira-kira pukul 4.58 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata seorang wanita berusia 43 tahun dimaklumkan jirannya mengenai kejadian itu selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.

Rakaman berkenaan menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal meletakkan objek dipercayai bahan letupan di hadapan premis sebelum beredar.

Letupan tersebut menyebabkan kerosakan pada pintu roller shutter dan lantai premis, manakala kedai bersebelahan turut mengalami kerosakan kecil pada papan tanda serta dinding.

Pemeriksaan awal oleh Unit Siasatan Pasca Letupan (PBI) dan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengesahkan bahan letupan jenis berkuasa rendah (low explosive).

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan serta Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Al Hakim Al Balkhis di talian 011-1125 6246.

SITI AISHAH BINTI MD ISA