fb fb fb fb fb

Polis Kelantan gagalkan cubaan dua lelaki seludup rokok

27,350 karton rokok diseludup menggunakan sebuah treler kontena di Jalan Sultan Ismail, Kampung Langgar, Kota Bharu

KOTA BHARU, 7 April- Polis Kelantan berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki untuk menyeludup 27,350 karton rokok dengan menggunakan sebuah treler kontena di Jalan Sultan Ismail, Kampung Langgar, Kota Bharu, semalam.
 
Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun, siasatan mendapati kesemua rokok seludup itu bernilai lebih RM4.1 juta.

Suspek yang juga merupakan pemandu dan kelindan berusia 29 dan 38 tahun itu ditahan pada pukul 7.50 pagi.
 
Dalam kejadian sekitar pukul 4.00 pagi itu, sepasukan polis marin telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan memasuki perairan Tumpat.

Hasil risikan seterusnya mendapati terdapat beberapa lori digunakan bagi kotak daripada bot ke treler kontena terbabit.

"Kita mengekori kenderaan ini sehingga ke Jalan Sultan Ismail, Kota Bharu dan disitu kita telah melakukan operasi. Pemandu dan kelindan yang telah ditahan memberitahu barang berkenaan kepunyaan seseorang. Suspek gagal ketika cuba menghubungi individu itu.

"Kita telah rampas lori dan barang itu dan jumlah keseluruhan kalau rokok sahaja RM4,102,500 rokok sahaja tetapi kalau masuk dengan lori dan cukai yang dua ini mungkin hampir RM10 juta," katanya sidang media di Perkarangan Pondok Polis Peringat, di sini.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kesemua rokok terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dijual di sekitar Lembah Klang.
 
Turut dirampas, tiga keping borang arahan penghantaran dan tiga unit telefon bimbit.
 
Kes disiasat bawah 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI