fb fb fb fb fb

Polis Johor tahan tiga lelaki berkelakuan lucah semasa larian

Tangkap layar daripada video tular berhubung larian berkenaan

KOTA TINGGI, 6 Oktober- Polis Johor menahan tiga lelaki yang dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang berlangsung di sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis negeri, Datuk M. Kumar berkata tangkapan itu melibatkan dua lelaki warga asing dan seorang warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun.

Beliau berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sebuah hotel di sini pada pukul 10.00 malam tadi.

"Polis turut merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai semasa larian tersebut iaitu sari berwarna merah, skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan satu batang tombak tiruan berwarna perak," katanya dalam kenyataan hari ini.

M. Kumar berkata hasil ujian air kencing ke atas kesemua suspek adalah negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

"Siasatan awal mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga suspek adalah atas kapasiti individu, dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan," katanya.

Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam

Jelas M. Kumar, siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis. 

0610 SIASAT LARIAN PAN ASIA INSHOT 2
Tangkap layar daripada video tular berhubung larian berkenaan

SITI AISHAH MD ISA