fb fb fb fb fb

Kes tembakan di Song: KDN sahkan seorang anggota polis ditahan

Menteri Dalam Negeri ,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto RTM

BANDAR BAHARU, 5 Oktober-Seorang anggota polis disahkan antara yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang anggota tentera di Song, Sarawak pada 23 September lepas.

Menteri Dalam Negeri ,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata ketika kunjungan beliau ke Sarawak, baru-baru ini.

"Setelah laporan polis dibuat, pihak polis segera membuat siasatan untuk mengesan individu terlibat. Dalam taklimat itu, saya dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak tentang penglibatan seorang anggota polis.

"Kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes ini. Setakat itu sahaja saya boleh sahkan berdasarkan kepada maklumat daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak,” katanya epada pemberita pada Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-76 di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis telah menahan dua orang  disyaki pemburu haram yang melepaskan tembakan sehingga mengorbankan mangsa, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kedua-dua suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang 24 September lalu di Song, hasil siasatan dan maklumat orang awam.

Manakala Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa mangsa adalah anggota formasi Briged 9 Sibu yang merupakan sebahagian daripada Batalion Ke-13 Rejimen Renjer Diraja Sarawak.

Menurutnya, insiden berlaku ketika mangsa sedang menjalani Eksesais Pasak Bumi (EPB) yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 29 September lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD