fb fb fb fb fb

Pemilik kebun direman, bantu siasatan kes tembak

Foto hiasan

SELAMA, 6 Oktober- Seorang pemilik kebun direman tiga hari bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki di sini pada Jumaat lalu.

Mangsa ditembak kerana disyaki terlibat kegiatan mencuri buah sawit bersama-sama seorang lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Selama Superintendan Sarudin Samah menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada bahagian kecemasan Hospital Selama pada pukul 7.50 petang Jumaat lalu mengenai seorang lelaki yang menerima rawatan di kaki kiri akibat ditembak.

"Siasatan awal mendapati mangsa ditembak ketika berada dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sumpit Beras.

"Mangsa bersama-sama seorang rakan dipercayai terlibat kegiatan curi buah sawit dengan rakannya itu ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Pada pukul 3.00 petang semalam, polis menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik kebun bersama-sama satu laras senjata api jenis senapang patah yang disembunyikan di kawasan kebun.

Semakan mendapati suspek memiliki rekod kesalahan jenayah lampau bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Siasatan lanjut akan dilakukan ke atas suspek bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI