fb fb fb fb fb

Tiga individu lempar bom petrol dikesan - Polis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Polis sedang mengesan tiga individu disyaki along yang melempar bom petrol ke sebuah rumah di Taman Bintang, Pantai Remis, Lumut kira-kira pukul 3.08 minit pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman dalam satu kenyataan berkata, sembilan botol bom petrol dilemparkan ke arah kediaman berkenaan hingga menyebabkan sebuah kereta dan motosikal terbakar.

"Polis menerima laporan pada pukul 9.36 pagi semalam daripada mangsa lelaki berumur 25 tahun yang juga seorang pekerja syarikat kuari.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga individu itu menaiki sebuah kereta dan memakai pelitup muka," katanya.

Dalam pada itu hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemukan lima helai kertas tertera tulisan bahasa Cina di luar pagar rumah mangsa yang memberikan amaran supaya melangsaikan hutang.

Bagaimanapun pengadu menafikan pernah terlibat dengan pinjaman wang tidak berlesen atau bermusuh dengan mana-mana pihak.

Bagaimanapun orang awam yang mempuyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amir Hafiz Mohd Rosli menerusi talian 011-24057360 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung (05-688 6222) bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI