KUALA LUMPUR, 5 Julai - Tiga wanita warga China ditahan polis selepas disyaki menggunakan wang palsu untuk membayar sewa bilik hotel bernilai RM8,700 di ibu negara, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, ketiga-tiga wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun itu menggunakan 87 keping wang kertas RM100 palsu bagi membuat bayaran.
"Semasa tangkapan, polis merampas 87 keping wang kertas RM100 disyaki palsu, selain sekeping wang tunai RM50 dan RM20, dua beg silang berjenama Louis Vuitton, tiga telefon bimbit jenis iPhone dan kad akses bilik hotel," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu. Ketiga-tiga suspek kini direman selama enam hari bermula 4 Julai hingga 9 Julai bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Sulizmie menasihatkan orang ramai agar tidak mengedarkan semula wang yang disyaki palsu, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.