fb fb fb fb fb

Polis buru suspek lelaki tempatan lingkungan 60-an, curi rantai emas

Foto hiasan

ALOR SETAR, 5 Ogos- Seorang wanita warga emas kerugian RM6,000 selepas mendakwa dipukau seorang lelaki dipercayai melarikan rantai leher miliknya di sebuah klinik kesihatan di daerah Kota Setar semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner (ACP) Siti Nor Salawati Saad dalam satu kenyataan berkata, mangsa didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali menawarkan rawatan tradisional kepadanya.

"Wanita berusia 60 tahun itu yang datang ke klinik berkenaaan untuk mengambil ubat namun telah menolak tawaran daripada lelaki tersebut, tetapi suspek tetap mendekati mangsa sebelum beredar beberapa minit kemudian," katanya.

Selesai berurusan di klinik tersebut, mangsa mendapati rantai leher emas yang dipakai telah tiada dan disyaki dilarikan suspek.

Berdasarkan laporan, suspek dikatakan menegur rantai leher emas dipakai kelihatan longgar, dan kemudian bertindak memegang rantai mangsa seolah mengetatkannya.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Berikutan kejadian itu polis mengesan suspek berusia lingkuan 60-an dan berketinggian 160 sentimeter warga tempatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI