fb fb fb fb fb

Karkas khinzir bernilai RM106,500 dirampas

TUMPAT, 4 Ogos-Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 7,100 kilogram karkas Khinzir bernilai RM106,500 selepas menahan sebuah Lori kontena di tepi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, Tumpat, Rabu lalu.

Pengarah Kastam Negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long dalam satu kenyataan berkata, susulan kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, anggota turut menahan seorang lelaki warganegara tempatan yang juga merupakan pemandu lori tersebut.

Menurut Wan Jamal, modus operandi penyeludup adalah dengan membawa masuk daging khinzir itu dari negara jiran melalui pengkalan haram dan menggunakan pelbagai jenis kenderaan sama ada lori atau treler.

Kesemua daging khinzir itu dengan anggaran cukai sebanyak RM42,600 dipercayai adalah untuk diedarkan ke pasaran tempatan di seluruh Malaysia.

Tambahnya, siasatan lanjut terhadap suspek masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik dagangan yang dirampas.

Karkas khinzir berkenaan diklasifikasikan sebagai barang larangan import bersyarat yang tertakluk di bawah Butiran 1(1) Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tujuan pengimportan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD