fb fb fb fb fb

Polis buka kertas siasatan, guru hina mangsa nahas pelajar UPSI

Hantaran jelik oleh seorang guru akan disiasat

IPOH, 13 Jun - Polis telah membuka kertas siasatan susulan tindakan seorang guru yang dipercayai membuat hantaran jelik di media sosial berhubung kemalangan maut membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata siasatan dibuat berdasarkan satu laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 4.40 petang semalam.

"Satu akaun Facebook bernama Khalid Yunus telah didapati membuat hantaran jelik mengenai penuntut UPSI yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah diarahkan menyediakan laporan lengkap berhubung tindakan guru terbabit yang dipercayai berkhidmat di sebuah sekolah menengah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata pengetua sekolah berkenaan telah diminta menyedia dan mengemukakan laporan tersebut kepada pihak JPN selaras dengan surat pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan pengurusan isu membabitkan warga pendidik. - BERNAMA

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN