fb fb fb fb fb

Pesara polis diperintah bela diri tuduhan edar kanabis

Foto hiasan

SEREMBAN, 30 Julai - Seorang pesara polis berpangkat Sarjan Mejar diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Rohani Ismail memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Aminuddin Amir, 66, selepas meneliti keseluruhan keterangan saksi serta hujahan kedua-dua pihak.

Datuk Rohani berkata, elemen pemilikan dadah telah dibuktikan berdasarkan anggapan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala, unsur pengedaran dibuktikan melalui takrifan Seksyen 39B(2) yang merangkumi tindakan menyimpan dan memiliki dadah berkenaan.

Tertuduh diperintahkan membela diri mengikut Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah.

Berdasarkan pertuduhan, Aminuddin didakwa mengedar bahan terlarang seberat 573.6 gram itu di sebuah pondok belakang rumah di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, pada 14 September 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 2 dan 3 Oktober 2025 sebagai tarikh prosiding pembelaan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN