KUALA LUMPUR, 30 Julai – Tujuh lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan warga Bangladesh dengan tujuan meminta wang tebusan dalam kejadian bulan lalu.
Kesemua tertuduh terdiri daripada dua warga Bangladesh, Sohel Rana dan Sahajahan, serta lima lelaki warga Myanmar iaitu Abdul Majid Abdul Malik, Soforodin Fozol Korim, Mokhtar Huson Zaher Huson, Mohammad Ismail Azita Rahman, dan Mohammad Arafat Hussein Jamal Mustafa.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan kesemua tertuduh mengangguk tanda faham.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa menculik seorang lelaki warga Bangladesh di hadapan sebuah masjid di kawasan Sentul pada pukul 11.30 malam, 26 Jun lalu, bagi tujuan mendapatkan wang tebusan.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 40 tahun dan dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani, tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang didakwa tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.