SEREMBAN, 30 Julai – Pemuda Amanah Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis terhadap kenyataan berunsur hasutan dan penghinaan peribadi yang didakwa dimuat naik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pada 26 Julai lalu melalui laman sosial Facebook miliknya.
Menurut Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Zainal Lufti Zainal Fitry, tindakan Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu memuat naik karikatur berunsur haiwan yang dikaitkan dengan isu perang Thailand-Kemboja berpotensi menimbulkan kebencian serta menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia, Kemboja dan Thailand.
“Kita sepatutnya berasa bangga apabila Perdana Menteri berjaya menyelesaikan isu antara dua negara jiran, namun seorang Ahli Parlimen pula mempermainkan perkara itu dengan lukisan kartun berunsur binatang.
Ini boleh menjejaskan imej Malaysia dan menimbulkan isu diplomatik,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya meminta polis menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin berkata pihaknya tidak menuntut permohonan maaf daripada Ahmad Fadhli, sebaliknya mahukan tindakan tegas diambil.
“Kami tidak tuntut permohonan maaf daripada beliau. Apa yang kami mahu adalah tindakan tegas daripada pihak berkuasa kerana kenyataan itu tidak bermaruah dan boleh menggugat keharmonian,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan pelbagai pihak menggesa Ahmad Fadhli memohon maaf secara terbuka susulan memuat naik karikatur berunsur haiwan yang merujuk isu perang antara Thailand dan Kemboja.