JOHOR BAHRU, 30 Julai – Seorang pengamal perubatan kerugian RM8.7 juta selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud sejak Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat berkata, mangsa seorang wanita berusia 53 tahun, tertarik dengan tawaran keuntungan sehingga 520 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa melakukan beberapa pembayaran ke beberapa akaun bank sepanjang Mei hingga bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, mangsa hanya menerima keuntungan berjumlah RM6,033 sebelum diminta membayar lebih RM500,000 lagi sebagai deposit untuk mengeluarkan dana serta keuntungan pelaburan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.