IPOH, 24 Januari - Seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) didenda RM30,000 kerana menerima jumlah yang sama bagi membantu mendapatkan permohonan permit kerja bahan batuan pasir.
Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Ahmad Kamar Jamaludin membuat keputusan itu terhadap Ahmad Zainuddin Bontak, 65 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki berkenaan menjalani hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut kertas pertuduhan, warga emas itu didakwa memperdayakan Badrul Hisham Hadan, 52, Perunding Projek IT dengan mendorong beliau untuk menyerahkan wang sebanyak RM30,000 bagi membantu permohonan permit kerja bahan batuan pasir di Perak sedangkan tiada permohonan permit kerja bahan batuan pasir dilakukannya.
Bekas pembantu awam di cawangan mekanikal JKR Ipoh itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Restoran McDonalds Jalan Tambun, Sunway City Ipoh pada kira-kira pukul 11 pagi, 19 Oktober 2012.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.