fb fb fb fb fb

Permohonan isteri Daim dapatkan pasport secara kekal didengar 13 Mac

Toh Puan Na'imah Abdul Khalid (tengah)

KUALA LUMPUR, 19 Februari- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 13 Mac depan untuk mendengar permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid bagi mendapatkan pasport secara kekal.

Hakim Datuk Ahmad Bache juga memutuskan hujahan bertulis peguam mewakili isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu dan pihak pendakwaan pada 4 Mac, diikuti hujahan balas daripada kedua-dua pihak pada 11 Mac.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Mohd Fadhly Mohd Zamry mengesahkan bahawa mereka telah menerima dokumen permohonan semakan Na’imah yang diwakili peguam Rajesh Nagarajan, hari ini.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Na'imah, 66, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 13 Disember lalu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA