NARATHIWAT, 21 Disember - Penyanyi tersohor di Kelantan yang ditangkap bersama-sama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok, Thailand pada 1 Disember lalu memberitahu bahawa pihaknya belum melantik peguam.
Eda Ezrin berkata, dia menyerahkan hal pelantikan peguam itu kepada ahli keluarganya, namun harga yang ditawarkan firma guaman tersebut mencecah 10 juta Bath (RM1.3 juta)
Bagaimanapun dia memilih untuk menolak kerana tidak mempunyai wang selain tahu pihak berkenaan mahu mengambil kesempatan.
Katanya, sehingga kini dia bersama-sama seorang lagi rakan wanitanya belum mempunyai peguam yang dapat memberikan khidmat nasihat guaman bagi menghadapi kes tersebut.
Ujarnya, dia berkemungkinan akan menerima tawaran pihak kerajaan Thailand untuk menggunakan khidmat peguam yang ditawarkan mereka.
Beliau berkata demikian kepada beberapa media dari Kelantan yang diberikan kebenaran eksklusif selama 40 minit untuk melawat wanita berusia 28 tahun itu di Penjara Wilayah Narathiwat, Thailand semalam.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Thailand menawarkan khidmat guaman kepada kesemua enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi sohor Kelantan termasuk penterjemah bahasa untuk proses membela diri.
Dalam pada itu, penyanyi itu berharap peminatnya terus mendoakan kesejahteraannya semasa berada dalam tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat.
Katanya, dia dengan dua lagi rakan wanitanya berada dalam keadaan baik dan menerima layanan sama seperti tahanan yang rakyat Thailand.
Menurutnya, kerinduan terhadap keluarga juga sedikit terubat apabila diberi peluang untuk berjumpa keluarga setiap hari Khamis selama 15 minit.