fb fb fb fb fb

Penolong kanan penguasa bomba dipenjara tiga tahun, denda RM172,000 kerana salah guna kuasa

Tertuduh, Mohd Roslan Zakaria, 41 (kanan) bersama peguam yang mewakilinya, G. Ravishankar.

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos- Seorang penolong kanan penguasa bomba dihukum penjara tiga tahun dan denda RM172,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat milik ahli keluarga melaksanakan kerja pembekalan bernilai RM32,540.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Roslan Zakaria, 41, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai penjawat awam didakwa menggunakan jawatannya untuk mencadangkan sebut harga milik ibu mentuanya, Pak Su Global Enterprise untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 60 unit antenna dan 30 unit alat ganti pengecas bernilai RM8,100.

Bapa kepada tiga anak itu juga didakwa atas kesalahan sama dengan mencadangkan sebut harga Muazzam Global Enterprise milik adik iparnya untuk melaksanakan kerja pembekalan 31 unit Kompas Orienting (SUNTO) berjumlah RM7,440.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan mencadangkan sebut harga Muazzam Global Enterprise milik adik iparnya untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan 10 unit jaket keselamatan dan 20 unit ‘wet suit’ bernilai RM17,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang pada Julai dan November 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM42,000 atau enam bulan bulan penjara jika gagal menjelaskan denda bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan hukuman denda RM40,000 serta tiga tahun penjara atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan manakala hukuman denda RM90,000 dan tiga tahun penjara atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan bagi pertuduhan ketiga

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara sehingga prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi selesai manakala penangguhan hukuman denda tidak dibenarkan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam G. Ravishankar.

ZEHRA BINTI ZAMBRI