fb fb fb fb fb

Penjaga ayam di Miri disyaki dibunuh

Lokasi kejadian mangsa lelaki yang ditemui dipercayai dibunuh/FOTO Polis

MIRI, 24 Januari - Seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah kebun penternakan ayam di Lambir, di sini semalam.

Beberapa kesan kecederaan juga turut ditemui pada kepala dan badan mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan telah menerima satu laporan penemuan mangsa daripada orang awam kira-kira pada pukul 10.29 malam.

"Sejurus laporan daripada orang awam, sepasukan Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah bergegas ke Hospital Miri untuk mengesahkan kejadian tersebut.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan. Setibanya pasukan Polis di Hospital Miri, pihak hospital mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.

"Susulan itu, polis telah telah menahan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 46 tahun bagi membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut ACP Alexson, motif pembunuhan mangsa masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes tersebut.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke balai polis yang berdekatan untuk membantu siasatan, atau menghubungi ASP Lee Chee Keat di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

GRACE AISYAH KEDAYAN