fb fb fb fb fb

Peniaga mengaku bersalah rasuah pegawai TNB

Tertuduh, R. Sandra Segar diiringi polis ketika meninggalkan mahkamah

IPOH, 20 Mac- Seorang peniaga didenda RM20,000 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memberi suapan berjumlah RM8,000 tiga tahun lalu. 

Hakim Datuk Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau satu bulan penjara bagi setiap pertuduhan selepas R. Sandra Segar, 39 tahun mengaku bersalah. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memberi satu suapan berjumlah RM3,000 termasuk upah dan RM3,500 termasuk upah kepada seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui seorang perantara sebagai satu balasan baginya untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan bawah Seksyen 37(3)(a) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana dengan curang mengambil elektrik ke atas pengusahaan premis miliknya di sekitar Taiping.

Kedua dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah hotel dekat Taiping.

Bagi kedua-dua kesalahan dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3)(a) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) di bawah Seksyen 37(3) Akta yang sama.

Mahkamah memerintahkan wang rasuah RM8,000 itu dilucuthakkan bawah Seksyen 40(1) ASPRM 2009 kepada kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Pahmi Ahmad.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE