fb fb fb fb fb

Air Oren punca buruh Bangladesh maut ditikam rakan sekerja ketika berbuka

FOTO HIASAN

SHAH ALAM, 20 Mac- Seorang lelaki warga Bangladesh maut ditikam rakan sekerjanya ketika sedang berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36, Shah Alam Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian berpunca ekoran suspek warga Pakistan itu marah selepas air orennya diminum oleh mangsa ketika berbuka puasa.

“Suspek kemudiannya bertindak menikam pekerja am itu beberapa kali menggunakan pisau yang diambil dari dapur,” katanya.

Mohd Iqbal berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut sekitar 7.20 malam, sebelum bertindak menahan suspek kira-kira 10 minit kemudian.

Pisau yang digunakan untuk menikam mangsa turut dirampas.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa dan suspek tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai asrama di kilang berkenaan.

'Suspek akan direman hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun jika sabit kesalahan,"katanya.

Pihak yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 0192255597 untuk membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE