fb fb fb fb fb

Peniaga alat ganti didakwa jual barangan tiruan

Peniaga alat ganti kenderaan dituduh jual produk palsu/Foto RTM

KUALA LUMPUR 29 Julai - Seorang peniaga alat ganti kenderaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan menjual alat ganti tiruan menggunakan cap dagangan tidak sah tahun lepas .

Tertuduh, Tan Chee Meng bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa .

Mengikut pertuduhan terdapat pelbagai barang alat ganti kenderaan menggunakan cap dagangan salah di gudang barangan premis Fast Meck Auto Spare (s) Tingkat 5, Blok B, Kompleks Sentral, Jalan Segambut Atas, Daerah Segambut jam 2.30 petang 5 November tahun lepas .

Antara barangan tiruan tersebut termasuklah Penapis Udara, Cecair Transmisi Automatik, Penapis Kabin, Cecair Penyejuk Radiator, Minyak Mineral dan Minyak Sintetik Penuh yang telah di tampal dengan cap dagangan jenama lain .

Tertuduh yang juga pengarah syarikat tersebut telah di dakwa di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) dan boleh didenda tidak melebihi 10 ribu ringgit bagi setiap barangan yang digunakan salah serta boleh di penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Tertuduh diwakili peguam, Roystor Tan dan pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salim Wahid .

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes.##

ASHRIQ FAHMY AHMAD