BINTULU , 30 Julai - Seorang pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bintulu di tahan reman enam hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM 18,600.00 sepanjang tahun 2021 hingga 2024.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Galvin Loo Wei Ling selepas membenarkan permohonan SPRM untuk mereman saspek lelaki berusia 41 tahun itu di Mahkamah Majistret Bintulu.
Terdahulu lelaki tersebut ditahan oleh SPRM, pukul 6.20 petang pada 28 Julai lepas ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Bintulu dan seterusnya ditahan reman selama enam hari bermula semalam sehingga 4 Ogos 2025 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, suspek disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM 18,600.00 yang dibayar secara dalam talian melalui akaun beberapa individu sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan undang-undang ke atas pengadu.
Permohonan reman dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat SPRM manakala lelaki tersebut diwakili oleh seorang peguam. Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.