KUALA LUMPUR, 15 November – Seorang pengurus syarikat percetakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan mesin cetak tanpa lesen dan menghasilkan bahan lucah menggunakan mesin cetak pada Jun lalu..
Chin Chiang Swee, 44, didakwa menggunakan mesin cetak tanpa lesen daripada Kementerian Dalam Negeri di sebuah syarikat percetakan di Desa Tun Razak, Cheras pada 21 Jun lalu.
Pertuduhan pertama mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, beliau turut didakwa menghasilkan penerbitan bahan lucah menggunakan mesin cetak di tempat yang sama dan pada tarikh yang sama mengikut Seksyen 4(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), yang memperuntukkan hukuman yang serupa.
Pegawai Pendakwa, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Muhamad Aliff Zahril Mohd Azhar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Peguam Adam Haikal, yang mewakili tertuduh, memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.
Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Januari 2025 untuk sebutan kes.