fb fb fb fb fb

Pengurus kafe GISBH didakwa atas empat pertuduhan pemerdagangan manusia

FOTO RTM

KOTA TINGGI, 30 Oktober- Seorang pengurus kafe GISB Holdings didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas empat pertuduhan memperdagangkan manusia, sejak Mei lalu.

Tertuduh, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan dia bersama empat lagi suspek didakwa dengan niat bersama, memperdagangkan empat individu berumur 30 hingga 57 tahun, bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman.

Kesalahan itu dilakukan di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Kota Tinggi, sejak Mei hingga satu Oktober lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid , manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zahier Rosli.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan, berserta syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE