KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang eksekutif pemasaran salah sebuah syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan.
Perintah reman selama empat hari sehingga Sabtu ini telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap suspek, selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber lelaki yang berusia 30-an itu telah ditahan bagi membantu siasatan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam.
"Hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif (dormain) di Malaysia sejak lapan tahun lepas.
"Bagaimanapun, syarikat induknya merupakan sebuah syarikat berpengkalan di negara jiran Singapura. Syarikat terbabit juga dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja berjumlah 15,000 tan atau lebih kurang RM60 juta pada tahun 2022.
"Pemberian kontrak sangat meragukan di mana ia dipercayai dibuat atas arahan pihak tertinggi Pertubuhan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan diberikan secara runding terus atas alasan pembelian darurat," katanya.
Tambah sumber, bagaimana kontrak bernilai RM60 juta ini boleh diberikan atas nama syarikat yang telah tidak aktif sejak lapan tahun lepas amat mencurigakan.
Begitu juga keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa atas nama pembelian kecemasan, ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 16, 18 dan 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Semalam ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM telah memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Beberapa siri bongkaran telah dilakukan dalam tempoh dua hari di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Ibu pejabat pertubuhan tersebut, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.
Menurut sumber, projek bawah kementerian berkenaan berjumlah RM1.8 billion telah dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.
Pertubuhan terbabit dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada pesawah-pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri masing-masing.