fb fb fb fb fb

Kastam Pulau Pinang rampas 1.99 juta batang rokok seludup

FOTO RTM

BUTTERWORTH, 30 Oktober- Jabatan Kastam diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, mematahkan cubaan menyeludup rokok tidak berkastam dengan merampas 1.99 juta batang rokok membabitkan nilai hampir RM2 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, kesemua rokok terbabit dirampas menerusi satu serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh.

Hasil siasatan, rokok-rokok terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, sementara rumah berkenaan dijadikan stor penyimpanan.

Ketika serbuan, pihaknya menjumpai sebuah bilik rahsia yang ditutup dengan sebuah almari ditempah khas bagi tujuan menyembunyikan rokok tersebut.

"Selepas mengalihkan almari itu, pasukan serbuan menjumpai 1,543,100 batang rokok putih dan 450,120 batang rokok kretek pelbagai jenama yang disorokkan.

"Kesemua rokok yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM581,254 dan melibatkan duti cukai berjumlah RM1,373,650.60.

“Rokok-rokok itu dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal hari ini.

Tambahnya, rumah berkenaan disewakan kepada warga asing.

Susulan itu, pemilik rumah berkenaan, lelaki yang berusia 70 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE