ARAU, 30 Oktober- Tindakan dua lelaki warga tempatan cuba menyeleweng petrol berjaya dipatahkan penguat kuasa KPDN Perlis di sebuah stesen minyak di Kubang Gajah, Arau kira-kira pukul 5.25 petang tadi.
Sebanyak 344 liter petrol bernilai lebih RM705 ditemui dalam dua tangki tambahan dan enam unit tong 'Jerrycan' yang dimuatkan dalam kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback.
Menurut Pengarah KPDN Perlis, Hasbullah Abd Rashid, tangkapan tersebut dibuat berdasarkan maklumat daripada pasukan Cawangan Khas PDRM Bahagian E5 dan Pegawai Risik KPDN Perlis yang mengekori kenderaan Malaysia yang disyaki mempunyai tangki tambahan yang telah diubah suai untuk membeli minyak petrol di sekitar stesen Kangar dan Arau.
Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek gagal menunjukkan dokumen seperti Permit Khas semasa pasukan penguat kuasa menahannya.
KPDN menahan pemandu dan rakannya masing masing berumur 31 dan 32 tahun serta menyita petrol dan kenderaan terlibat.
Kes disiasat bawah Akta Kawalan bekalan 1961.