fb fb fb fb fb

Pengurus IT didakwa kemuka dokumen palsu, tuntut Insentif Pengambilan Pekerja

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 6 November - Seorang pengurus syarikat teknologi maklumat (IT) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah hampir RM200,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, K. Shiva Lingaa , 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.  

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-6, tertuduh selaku pemilik syarikat Amdocs Technology didakwa menipu kakitangan PERKESO dengan mengemukakan borang pengesahan pekerja palsu untuk lapan orang pekerja menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan nilai keseluruhan, RM196,760

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di pejabat PERKESO Johor Bahru pada 30 Jun 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli dan Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Faizzudin Abd Rafik.

Mahkamah memerintah tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang warga tempatan.

Sebutan kes ditetapkan 6 Disember depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD