fb fb fb fb fb

Lima individu termasuk dua wanita ditahan curi kabel TM

FOTO POLIS MELAKA

JASIN, 6 November- Panjat tiang Telekom Malaysia (TM), itu tindakan berani sekumpulan lima individu untuk mencuri kabel milik TM.

Bagaimanapun tindakan itu membawa padah apabila kesemua suspek berusia 19 hingga 37 tahun ditahan Polis Melaka semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan kabel telekomunikasi di Sungai Rambai, Jasin yang dipercayai dipotong sepanjang kira-kira 250 meter dianggarkan bernilai RM8,500.

Laporan dibuat juruteknik TM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada hari sama tangkapan dilakukan.

Hasil siasatan, polis menahan kesemua suspek di sekitar daerah Jasin, Muar dan Tangkak.

Polis turut merampas dua buah kenderaan milik suspek, lapan gelung kabel telekomunikasi dan beberapa peralatan yang digunakan bagi tujuan memotong kabel.

Permohonan reman ke atas semua suspek di buat hari ini bagi meneruskan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE