SEPANG, 6 November - Cubaan seorang lelaki warga India menyeludup tiga ekor tenggiling di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2), pada 28 Oktober lalu, gagal.
Hidupan liar itu ditemukan dalam bagasi suspek sejurus ditahan anggota keselamatan kira-kira pukul 9 malam.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata pemeriksaan lanjut dilakukan pegawai Jabatan Perlindungan Haiwan dan Hidupan Liar (Perhilitan) sebelum mengesahkan ia mengandungi tiga bekas kecil berisi tenggiling.
"Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke pejabat Perhilitan di KLIA2 untuk proses dokumentasi dan pengecaman spesis hidupan liar.
"Suspek dipercayai mendapat tawaran melalui ejen di India untuk membawa haiwan itu ke Colombo," katanya menerusi kenyataan.
Kes diserahkan kepada JKDM dan suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967.