fb fb fb fb fb

Pengubahan wang haram, perunding pelaburan dihadapkan ke Mahkamah

Seorang perunding pelaburan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping atas empat pertuduhan penggubahan wang haram yang berjumlah lebih RM900,000 tahun lalu

TAIPING, 16 Julai - Seorang perunding pelaburan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas empat pertuduhan penggubahan wang haram yang berjumlah lebih RM900,000, tahun lalu.

Tertuduh, Saiful Nizam Saharuddin 39 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Sebagai pemilik perniagaan PMBIS Growth Venture, tertuduh didakwa telah melakukan pemindahan wang sebanyak RM70,000, RM156,427.53, RM600,000 dan RM100,000 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun semasa syarikat itu ke empat akaun semasa milik individu berlainan berusia 42 hingga 59 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Islamic Bank Berhad, Cawangan Plaza Centro Klang, Jalan Batu Tiga Lama, Klang Selangor pada 27 Julai 2023.

Kesemua pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin yang bermastautin di Kuala Kangsar.

Tertuduh yang diwakili Peguam, Pang Tek Kit dikehendaki melapor diri ke balai polis berhampiran pada setiap satu hari bulan dan diminta menyerahkan pasport sekiranya ada kepada pihak mahkamah.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nurul Wahida Jalaluddin dan mahkamah menetapkan 22 Ogos depan bagi sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN