SEREMBAN, 18 Disember - Seorang pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) berjumlah RM3.7 juta.
Tertuduh, Cheong Yin Ying, 39 tahun membuat pengakuan itu dihadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi menggunakan bangunan dan barang di dua premis di Kawasan Perindustrian Mantin sebagai peralatan kesalahan bagi menjalankan aktiviti haram pada 15 Disember lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Perenggan 4(1)(a), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.
Hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dan 6 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy, manakala tertuduh diwakili peguam Amirul Faizureen Jamaluddin.
Pada 5 Disember lalu, media melaporkan Cheong bersama suaminya, James Ooi Joe Behn, 41, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas 14 pertuduhan menerima wang daripada aktiviti haram bernilai RM3.7 juta antara Januari 2021 hingga Mei 2023.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar jaminan masing-masing sebanyak RM40,000 dan RM60,000 dengan seorang penjamin.