fb fb fb fb fb

Penemuan mayat berikat di tepi landasan kereta api, disiasat kes bunuh

FOTO IPD HULU SELANGOR

HULU SELANGOR, 31 Julai – Polis membuka kertas siasatan kes bunuh susulan penemuan mayat lelaki dalam keadaan tangan dan kaki terikat di tepi landasan kereta api berhampiran Jambatan Kampung Sungai Serian, Kalumpang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Penguasa Polis (Supt) Ibrahim Husin menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 10.30 pagi mengenai penemuan mayat tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dicampak dari jambatan setinggi lebih 11 meter. Pemeriksaan forensik mendapati kaki dan tangan mangsa diikat, manakala kepalanya dibalut kain serta dilekatkan pita pelekat hitam dan putih.

“Mayat juga sudah mereput, dipercayai meninggal dunia lebih empat hari sebelum ditemui. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mangsa,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat yang dijadualkan esok pagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadli Abdul Aziz di talian 03-6064 1222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE