fb fb fb fb fb

Dua beradik ditahan miliki pistol dan peluru hidup

FOTO IPD TAPAH

TAPAH, 31 Julai – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol bersama peluru hidup di sebuah rumah di Kampung Belakang Pasar Bidor, di sini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Penguasa Polis (Supt) Johari Yahya dalam kenyataan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa terdengar bunyi letupan di kawasan kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di rumah terbabit menemukan sepucuk pistol jenis Revolver .38 Smith & Wesson, empat butir peluru hidup serta satu kelongsong peluru yang masih berada dalam chamber, tersorok di bawah tilam,” katanya.

Pemeriksaan lanjut turut menemui kesan serpihan peluru di ruang tamu tingkat atas dan bawah rumah berkenaan.

Dua lelaki berusia 45 dan 46 tahun yang merupakan adik-beradik itu ditahan di lokasi kejadian. Semakan mendapati mereka memiliki 10 rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik, manakala salah seorang daripada mereka disahkan positif methamphetamine dalam ujian air kencing.

Kedua-duanya direman tujuh hari sehingga 6 Ogos ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8(a) dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE