fb fb fb fb fb

Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah terima suapan RM7,880

Seorang pembantu tadbir Pejabat Daerah dan Tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,880

SHAH ALAM, 26 Jun - Seorang pembantu tadbir Pejabat Daerah dan Tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,880 membabitkan urusan permohonan pecah bahagian tanah, dua tahun lepas.

Pembantu tadbir itu didakwa menerima suapan RM3,700 dan RM4,180 pada 19 Mei dan 19 September 2022.

Wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank sebagai dorongan memproses pecah bahagian tanah atas geran milik seorang penama lelaki.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Sungai Besar, Selangor.

Noor Aliza Hamin, 46 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Noor Aliza yang tidak diwakili peguam dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai depan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN