fb fb fb fb fb

Dua suspek kes ragut di KESAS ada tujuh rekod jenayah, positif dadah

Video tular menunjukkan seorang wanita diragut hingga diseret oleh dua suspek lelaki menaiki sebuah motosikal di tepi jalan Lebuhraya Kesas susur keluar ke arah Kota Kemuning

SHAH ALAM, 26 Jun- Polis mengesahkan penahanan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian cubaan meragut barangan berharga milik seorang wanita di Lebuhraya KESAS seperti yang tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, suspek berusia 33 dan 32 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pencuci kereta dan pembantu kedai makan itu ditahan pada pukul 1.30 hingga 3 pagi tadi di sekitar Klang.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada mangsa berumur 58 tahun pada 8.35 pagi semalam yang mendakwa diragut semasa berhenti di tepi jalan ekoran kereta yang dinaikinya mengalami kerosakan sekitar 7 pagi.

"Menurut mangsa, kedua-dua suspek pada pada mulanya berhenti bersebelahan keretanya sambil berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu mangsa sebelum secara tiba-tiba seorang daripada suspek bertindak mengambil dompet yang berada di dalam beg silang yang dipegang oleh mangsa.

Mangsa kemudiannya bertindak menangkap tangan suspek yang memboceng motosikal tetapi tindakan tersebut menyebabkan mangsa terseret di atas jalan raya hingga cedera,” katanya.

Mohd Iqbal berkata kejadian itu telah terakam di kamera papan pemuka kereta salah seorang pengguna jalan raya yang secara kebetulan melalui laluan tersebut.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihaknya telah berjaya menangkap dua lelaki tersebut dan menemukan semula barangan yang diragut iaitu kad bank serta lesen memandu kepunyaan mangsa termasuk motosikal yang digunakan semasa kejadian.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine setelah ujian saringan air kencing dilakukan.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE