fb fb fb fb fb

Pembantu Penguat kuasa Veterinar mengaku tidak bersalah terima rasuah

KUALA TERENGGANU, 4 Januari- Seorang Pembantu Penguat kuasa Veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM35,000, tahun lepas.

Tertuduh, Abol As Mohd Jamil, 43, yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Dia didakwa meminta rasuah RM35,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan bagi menurunkan seksyen pertuduhan kepada hukuman yang lebih ringan bagi satu kes di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus antara pukul 12.30 tengah hari hingga 1.00 tengah hari pada 27 Julai 2022.

Bagi pertuduhan kedua, Abol As dituduh menerima rasuah RM35,000 daripada lelaki sama untuk tujuan sama di alamat sama pada 3 Ogos 2022.

Abol As didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi kedua-dua pertuduhan, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

(Tertuduh, Abol As Mohd JamilĀ (tengah))

Mahkamah membenarkan Abol As diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada SPRM dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh dan Nur Athikah Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.

Mahkamah menetapkan 7 Februari untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media Baharu